Dalam kehidupan ini kita tidak akan lari daripada membuat sesuatu pilihan. Tidak kiralah dalam apa jua aspek sekalipun. Kita sentiasa dilema untuk menentukan sesuatu keputusan itu. Antara yang ini ataupun yang itu. Kita terpaksa berhadapan dengan perkara ini saban hari. Persoalannya, bagaimanakah untuk kita menetapkan sesuatu keputusan itu? Sedikit perkongsian daripada penulis untuk kalam kali ini iaitu beberapa petua ringkas dan praktikal untuk dilakukan ketika membuat sesuatu pilihan.
1. Solat Istikharah
Sebagai seorang Muslim kita perlu menjadikan solat Istikharah sebagai prioriti dalam membuat sebarang keputusan kerana bukannya setiap perkara yang kita inginkan merupakan sesuatu yang terbaik untuk kita dan tidak pula semua perkara yang kita tidak sukai itu akan membawa mudarat kepada kita. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu akan apa yang terbaik buat kita, sepertimana dalam firmanNya yang bermaksud,
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2:216)
2. Musyawarah
Musyawarah, syura, bermesyuarat, diskusi, atau perbincangan adalah elemen yang kedua yang perlu untuk kita praktikkan dalam membuat sesuatu keputusan itu. Satu akal yang bersuara dalam membuat sesuatu keputusan sama sekali tidak sama dengan suara majoriti atau akal yang kurang ilmu dan pengalaman tidak dapat membuat sebuah keputusan sematang mereka yang berilmu dan mempunyai pengalaman hidup yang banyak. Oleh sebab itu, mintalah pendapat orang soleh, ilmuwan atau mereka yang lebih berumur daripada kita seperti ibubapa dalam membantu kita membuat sebuah keputusan itu.
3. Dengar kata hati
Peranan hati dalam membantu kita membuat sebuah keputusan itu tidak dapat kita nafikan tetapi perlu bersyarat. Bukan secara melulu sahaja untuk mendengar kata hati ini kerana takut kata hati itu tidak tepat. Oleh itu, hanya hati yang cintakan Allah dan Rasul sahaja yang layak dipertimbangkan. Oleh sebab itu, dengarlah kata hati selepas solat terutamanya selepas solat fardu, solat taubat atau solat Istikharah serta kektika sedang berpuasa.
Inilah sedikit perkongsian untuk kalam kali ini. Tetapi perlu diberikan perhatian bahawa segala petua ini tidak boleh diamalkan dalam membuat sebuah keputusan yang melibatkan soal mematuhi Allah dan menjauhi laranganNya. Semoga perkongsian kali ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua. Wallahuaklam.
“Hidup sentiasa memerlukan pilihan. Maka pilihlah sebuah keputusan yang tepat.”
*Aku sendiri tak pasti dengan keputusan yang telah aku ambil. Berkali dia bertanyakan soalan yang sama tapi aku masih keliru dengan jawapan yang berada di hati aku. Sememangnya aku sendiri tidak pernah untuk berkongsi dengan sesiapa mengenai keputusan yang aku ambil ini. Bukan berniat untuk aku merahsiakan sesuatu dari orang-orang yang aku anggap teramatlah penting yang telah banyak berkorban dan bersusah payah untuk aku selama 21 tahun aku mengenal dunia. Tapi, aku masih lagi belum pasti dengan keputusan yang telah aku pilih ini. Biarkan aku pasti sebelum aku memberitahu kepada mereka mengenai keputusan ini. Ketika ini, biar aku sendiri mengenali diri. Sudah pasti aku sudah tak sanggup lagi untuk hidup dalam berjuta masalah. Biarkan yang berlalu itu terus berlalu tanpa aku menoleh ke belakang lagi. Bila aku persoalkan tentang isu ini kepada sahabat aku. Seperti yang dijangka mereka yang sebelum ini ada yang tidak setuju memberikan komen yang positif mengenai isu itu. Ada baiknya dari aku terus terluka. Apa yang pasti ketika ini aku hanya berdoa supaya ALLAH berikan yang terbaik untuk aku.*
No comments:
Post a Comment