Friday, May 4, 2012

Di Penghujung Usia .

Semasa bayi . .

Kita sangat kerdil di mata semua . Raut wajah yang bersih , putih dan kulit kita yang lembut membuatkan semua terpikat . Pada waktu itu , kita tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang berlaku . Mengapa ada mata yang memandang dan tersenyum melihat telatah kita . Kita bersuara tapi tiada yang mengerti apa yang sedang kita suarakan . Tiada yang memahami pertuturan kita ketika itu . Seharian kita dibelai dengan penuh kasih sayang . Dihalaunya nyamuk yang hinggap di tubuh kecil kita . Tidur malam tidak mencukupi untuk menjaga kita ketika itu . Kita yang belum kenal siapa kita asyik mengganggu tidur ibu dan ayah . Tanpa rungutan mereka bangun melihat kita . Pabila lapar diberinya susu sehingga kenyang . Pada waktu itu yang hanya mampu kita lakukan makan dan tidur . Setelah kenyang kita terus diulit mimpi yang indah . Apabila kita sudah pandai senyum ramai yang geli hati melihat senyuman kita . Bangga kita ketika itu pabila ramai memuji kita sangat comel . Tiada dosa yang kita lakukan pada ketika itu . Sungguh suci kan kita waktu itu . 

Semasa kanak-kanak . .

Di alam ini , kita diasuh dengan didikan yang sewajarnya . Kita diajar cara makan yang betul , cara menghormati orang tua , cara bercakap dan sebagainya . Hari demi hari , kita sudah pandai untuk melakukan setiap pengajaran dengan sendiri . Mereka sabar mendidik kita dengan penuh kasih sayang yang tiada akhirnya . Setiap hari kita dihantar ke sekolah dan dibekalkan dengan duit ringgit untuk dibelanjakan . Tak cukup dengan itu , di jemput pula apabila pulang dari sekolah . Si ibu setia menanti di muka pintu menyambut kepulangan kita tanpa rasa jemu . Sampai saja di rumah , dihidangkan kita dengan makanan yang lazat untuk dijamah . Itulah rutin harian yang sering ibu dan ayah kita lakukan pada alam persekolahan kita dulu . Mereka tanpa kenal erti penat dan lelah sanggup bersengkang mata dan memerah keringat siang dan malam untuk mencari sesuap nasi untuk kita . Itulah pengorbanan yang sering mereka lakukan pada kita .

Semasa remaja . . 

Remaja . Satu alam yang penuh dengan berjuta dugaan yang perlu kita tempuhi . Andai salah jalan yang dipilih terus hanyutlah kita ke alam yang lain . Ibu dan ayah sentiasa berdoa supaya kita yang dijaga dan di asuh oleh mereka sentiasa dalam keadaan sihat dan sejahtera walau dimana jua kita berada . Di alam ini , kita sudah pandai untuk melawan kata-kata mereka dan sudah tahu untuk memberontak setiap percakapan mereka . Kenakalan kita semakin memuncak pada waktu ini . Kadangkala terguris hati mereka dengan perbuatan kita sama ada sengaja mahupun tanpa kita sedari . Tapi , mereka tetap tersenyum mesra melayan karenah kita pada waktu itu walaupun hati mereka terusik . Di usia kita sebegini , makin banyak pelaburan yang perlu ibu dan ayah kita lakukan . Tanpa kita ketahui perit dan susah payah mereka mencari duit dengan semudahnya kita menggunakan duit yang diberikan . Pada mereka cuma satu impian dihati iaitu ingin melihat kita berjaya dan menjadi insan berguna pabila dewasa kelak . "Belajar rajin-rajin ye" . Itu yang sering ibu dan ayah kita pesan setiap kali kita ingin membuka langkah keluar dari rumah untuk pergi menuntut ilmu . 

Semasa dewasa . . 

Kita yang sudah berjaya seakan lupa dengan tanggungjawab kita sebagai seorang anak . Ada pula yang lupa tentang pengorbanan ibu dan ayah yang telah bersusah payah membesarkan kita . Di waktu ini , kita mula leka dengan impian yang telah kita capai selama ini . Yang kita tahu inilah masa depan kita dan tak ingin kita lepaskan . Walhal tanpa pengorbanan dan keringat ibu dan ayah kita mustahil juga untuk kita capai semua ini . Seharian kita sibuk dengan kerjaya kita sehingga mengabaikan ibu dan ayah . Tak kurang pula ada dikalangan kita yang sanggup menghantar ibu dan ayah ke rumah orang tua-tua . Pada anggapan kita mungkin dengan cara menghantar ibu dan ayah ke rumah orang tua-tua satu kelebihan dimana ibu dan ayah kita tidak terabai apabila kita sibuk dengan menguruskan kerjaya kita . Tapi , pada anggapan umum betapa kejamnya kita apabila sanggup menghantar ibu dan ayah kita ke sana . Tidakkah kita terfikir betapa sukarnya mereka untuk menjaga kita semenjak kecil sehingga la dewasa . Mereka tidak pernah merungut tapi kita seringkali merungut . Dimanakah tanggungjawab dan kesedaran kita ?

Semasa tua . .

Semakin hari semakin meningkat usia kita . Pada usia tua ini mulalah kita sedar betapa besarnya pengorbanan ibu dan ayah kita semasa mereka masih bernafas di muka bumi ini . Sesal pada waktu ini kerana mengabaikan mereka sudah tiada erti lagi . Di kala ini juga turut akan timbul rasa ingin kembali ke masa lalu demi berbakti kepada ibu dan ayah kita . Namun , segalanya sudah terlambat . Satu persatu kenangan yang datang silih berganti di segenap pemikiran kita pada waktu ini . Tanpa sedari sebutir mutiara jernih mengalir di pipi menandakan kesesalan dan keinsafan yang wujud di benak hati kita . Di penghujung usia ini juga , kita akan merasakan ingin memeluk dan mencium tangan ibu dan ayah untuk meminta ampun dari mereka . Sehingga ajal datang menjemput sesalan masih terdampar di hati . 



p/s : sayangi dan hargailah ibu bapa sementara mereka masih ada untuk menemani kita di muka bumi ini . Jangan pernah sakiti hati mereka . Turutilah kehendak mereka sebaik mungkin . Dear mama dan abah ! I LOVE YOU SO MUCH TILL END OF MY LIFE! You're my everything for me . Thanx sebab dah bersusah payah membesarkan akak . I'm promise to study more and hard after this . Setiap pengorbanan yang abah dan mama berikan mungkin akak tak mampu nak balas tapi yang diharapkan kejayaan akak suatu hari nanti mampu memberikan kebahagiaan untuk mama dan abah . Akak tak akan lupakan mama dan abah . InsyaAllah . 


Dedicated song for my lovely parent !

1 comment:

Unknown said...

bila diaorang sudah tiada .. baru terasa sunyinya dunia tanpa mereka ... terutama sewaktu perayaan..

 
© IeykaShahidan